mutakhir

Nasib tertuduh kes bunuh Kim Jong-nam, diketahui esok

Oleh Sarah Zulkifli

NASIB wanita warga Indonesia Siti Aisyah dan wanita warga Vietnam Doan Thi Huong sama ada perlu membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol atau abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam, akan diketahui esok.

Keputusan di akhir kes pendakwaan itu dijangka dibacakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Azmi Ariffin.

Sepanjang perbicaraan yang meliputi 39 hari sejak 2 Oktober tahun lalu, sebanyak 236 bahan bukti dikemukakan kepada mahkamah.

Ia termasuk pakaian milik kedua-dua tertuduh dan mangsa serta rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV)

Berdasarkan pertuduhan, Siti Aisyah, 26, dan Thi Huong, 29, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada jam 9 pagi, 13 Februari 2017.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tertuduh kali pertama dihadapkan di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac 2017, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Siti Aisyah diwakili peguam Gooi Soon Seng, manakala Thi Huong diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Kes pembunuhan Kim Jong-nam mendapat perhatian media antarabangsa selepas beliau dibunuh dengan menggunakan agen saraf VX, ketika berada di klia2 untuk penerbangan ke Macau.

Rentetan daripada itu, dua wanita warga Indonesia dan Vietnam ditahan dua hari kemudian menerusi pengecaman CCTV di klia2.

Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong-il, hidup dalam buangan di China dan Asia Tenggara selepas dikatakan bergaduh dengan bapanya.

Beliau yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Kes itu turut hangat apabila mencetuskan perbalahan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 7:02pm
d