mutakhir

[UPDATE] Jerit mak sekali sahaja...

Oleh Joshua Eric

MAK! Itu jeritan terakhir disusuli tangisan dua beradik, Zulqarnain Ajizul, 5, dan Zulfadhli Ajizul, 2, kepada ibu mereka, Jamilah Tuah, meminta agar diselamatkan dalam tragedi kebakaran mengorbankan kanak-kanak berkenaan di Kampung Hilir, Lingga, Sri Aman, petang semalam.

Lebih memilukan apabila jeritan dan tangisan mereka sedikit demi sedikit lenyap di sebalik api marak membakar rumah kayu didiami manakala ibu mereka bersama ahli keluarga dan jiran tidak mampu berbuat apa-apa kerana keadaan terlalu berisiko.

Jamilah berkata, detik paling menyedihkan apabila melihat mayat kedua-dua anak kesayangannya itu ditemui dalam keadaan berpelukan di bawah sisa kebakaran sejurus api dipadamkan sebelum dibawa keluar oleh anggota bomba bertugas.

“Hanya Allah mengetahui perasaan saya dan suami melihat kedua-duanya pergi sekelip mata.

“Abang (Zulqarnain) dan Adik (Zulfadhli) ‘pergi’ tanpa sebarang petanda...kami reda dengan ketentuan Tuhan,” katanya ketika ditemui di Surau Hayatul Islamiah, Kampung Hilir, hari ini.

Katanya, kedua-dua anak lelakinya itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan ganjil sebelum kejadian, malah sentiasa berada dalam keadaan ceria seperti kebiasaannya.

Diminta menceritakan semula detik cemas pada 4 petang semalam itu, Jamilah berkata, dia bersama anak perempuannya, Nuraqilla Abdullah, 8, serta kedua-dua anak lelakinya itu sedang tidur di ruang tamu sebelum kebakaran berlaku.

Bagaimanapun, beliau terjaga lebih awal kerana mahu menggunakan tandas tanpa menyedari ketiga-tiga anaknya turut terjaga dari tidur.

“Selepas keluar dari tandas, saya mendapati Abang dan Adik tidak berada di ruang tamu lalu terus mencari mereka di beranda rumah.

“Ketika itulah saya melihat ada kepulan asap keluar dari tingkap bilik tidur bapa mentua. Menyedari sesuatu tidak kena sedang berlaku, saya bergegas membuka pintu bilik dan terkejut mendapati kedua-duanya terperangkap dalam bilik berkenaan yang sedang marak terbakar.

“Saya tidak dapat masuk kerana keadaan terlalu panas dan api marak. Saya berteriak memanggil nama mereka berdua dan ketika itulah mereka merintih kepanasan dan menjerit memanggil ‘Mak’.

“Hanya sekali itu sahaja sebelum keadaan senyap, kecuali bunyi api membakar,” katanya.

Katanya, keadaan berlaku terlalu pantas, menyebabkan dia panik dan bergegas berlari keluar bersama anak perempuannya sebelum menjerit meminta bantuan jiran untuk menyelamatkan kedua-dua anak lelakinya itu.

Bagaimanapun, kebakaran merebak dengan cepat disebabkan cuaca panas dan kering, dengan sebahagian besar struktur rumah itu yang dibina dari kayu, musnah dalam tempoh hanya 30 minit.

“Tragedi ini cukup menyedihkan kami sekeluarga. Sudah pasti kami akan merindui gelak tawa dan keletah Abang serta Adik.

“Itu semua hanya tinggal kenangan untuk selamanya,” katanya.

Ketika kejadian, suami Jamilah, Ajizul Alli, 29, yang sedang bekerja di ladang sawit berhampiran bergegas pulang sejurus dimaklumkan penduduk kampung mengenai insiden berkenaan, namun sudah terlambat.

Sementara itu, jenazah dua beradik berkenaan dimandikan dan dikafankan di Masjid Bandar Sri Aman, sejurus selesai proses bedah siasat pada 10.30 pagi sebelum dibawa ke Surau Hayatul Islamiah Kampung Hilir untuk disembahyangkan.

Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir sejurus selesai solat Zuhur.

Berita berkaitan

'Mayat dua beradik berpelukan [METROTV]'

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 9:34pm
d