mutakhir

Terima kasih #HMKotakRezeki2018

Oleh Nur Izzati Mohamad

TANPA bantuan dan sumbangan pelbagai pihak antaranya badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat korporat, sudah tentu Maahad Tahfiz Sirajul Quran di Lorong Lampan, Seberang Jaya, tidak dapat beroperasi dengan baik.

Demikian luahan Pengerusi Maahad berkenaan, Zul Sudin ketika menerima kunjungan wakil Affin Islamic Bank Berhad dan New Straits Times Press (NSTP) yang hadir menyampaikan zakat bersempena program #HMKotakRezeki2018.

Zul berkata, dia yang menguruskan pusat pengajian agama itu sejak tujuh tahun lalu bersyukur dengan keprihatinan semua pihak membantu, sekali gus memudahkannya menguruskan maahad berkenaan.

“Jika tiada bantuan daripada pihak ini, susah untuk saya menyediakan keperluan anak tahfiz di sini apabila dalam sebulan kami memerlukan perbelanjaan sekitar RM50,000.

“Kos ini termasuk kos sewa dua asrama, utiliti, pejabat serta gaji guru dan kini saya membuka sebuah restoran untuk menampung perbelanjaan yang tidak cukup,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Zul berkata, dia kini dalam proses untuk mencari tanah bersesuaian untuk membangunkan maahad berkenaan dalam satu kelompok bagi menjimatkan kos perbelanjaan.

“Sekarang ini, asrama lelaki dan perempuan serta pejabat terletak berasingan walaupun dalam dalam kawasan berdekatan dan sekiranya maahad ini dapat dibangunkan secara berpusat, ia membolehkan banyak kos dijimatkan.

“Kami sedang merancang sambil berharap ada pihak sudi membantu maahad ini untuk tujuan itu,” katanya.

Terdahulu, Pegawai Perkhidmatan Pemasaran Affin Bank Cawangan Seberang Jaya, Rofisah Mohd Sadri dan Eksekutif Operasi Affin Bank Cawangan Butterworth, Mahani Mohamad menyampaikan sumbangan zakat kepada lima pusat pengajian agama dan rumah anak yatim dalam satu majlis ringkas, hari ini.

Lima pusat pengajian agama dan rumah anak yatim itu adalah Madrasah Tahfiz Hidayatul Ulum, Madrasah Nagore, Madrasah Tahfiz Fathul Ulum, Maahad Attahfiz Annur dan Rumah Permata Kasih.

Kelima-lima pusat berkenaan menerima sumbangan zakat bernilai RM3,500.

Sementara itu, Rofisah berkata, program tahunan Affin Bank itu adalah kesinambungan dengan kerjasama NSTP pada Ramadan lalu.

“Pada Ramadan lalu, kami bersama pihak NSTP melalui #HMKotakRezeki2018 menyampaikan barangan keperluan kepada pusat agama dan rumah anak yatim.

“Jadi, pada kali ini, kami memanggil semula mereka dan mengadakan lawatan bagi menyerahkan zakat daripada pihak Affin Islamic,” katanya.

Secara keseluruhannya, Affin Islamic memperuntukkan RM252,000 wang zakat untuk diserahkan kepada 72 pusat keagamaan dan rumah anak yatim di seluruh negara.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 10:21pm
d