mutakhir

Kesian dia...

Oleh Wan Faizal Ismayatim

GAJAH jantan yang ditemui cedera di kaki akibat terkena jerat di kawasan hutan di Taliwas, Lahad Datu, sudah diberikan rawatan oleh anggota Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS).

Ketika ditemui oleh anggota Unit Penyelamat Hidupan Liar JHLS, Selasa lalu, gajah berumur antara tujuh hingga sembilan tahun itu mempunyai kesan luka sedalam dua inci di kaki kanannya.

Bagaimanapun, selepas diberikan rawatan segera, sebahagian besar kawasan luka sudah menunjukkan tanda penyembuhan.

Pegawai Perhubungan Awam JHLS, Siti Nur'ain Ampuan Acheh berkata, pihaknya kini memantau keadaan gajah terbabit yang memerlukan masa untuk sembuh sepenuhnya.

"Gajah itu akan dipindahkan ke Sanctuari Gajah Borneo untuk rawatan dan pemerhatian lanjut," katanya menerusi kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Siti Nur'ain berkata, pegawai veterinar JHLS sudah menjalankan bedah siasat terhadap bangkai anak gajah jantan dianggarkan berusia dua hingga tiga tahun yang ditemui terapung di Sungai Kinabatangan berhampiran Hutan Simpan Pangi, 13 Ogos lalu.

"Pemeriksaan fizikal tidak menemui sebarang kecederaan luaran di badan gajah, namun penemuan awal bedah siasat menyimpulkan gajah itu mengalami gastritis ulseratif yang mengakibatkan kehilangan banyak darah dalam usus.

"Sampel organ dalaman penting diambil untuk analisis dan pengesahan mengenai punca kematian hanya boleh dipastikan apabila keputusan analisis sampel diperoleh," katanya.

Selasa lalu, Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew, mengesahkan seekor anak gajah ditemui mati, manakala seekor lagi cedera akibat terkena jerat dalam dua kejadian berasingan di Kinabatangan dan Lahad Datu, Isnin lalu.

Beliau berkata, JHLS segera menghantar pasukan untuk memeriksa gajah terbabit sejurus menerima maklumat.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 10:04am
d