mutakhir

Sumbangan amat bermakna

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Tujuh pusat kebajikan dan madrasah di Perak, masing-masing menerima wang zakat RM3,500 yang disumbangkan Affin Islamic Bank Berhad menerusi program #HMKotakRezeki2018 di sini, semalam.

Semua tujuh pusat berkenaan adalah Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin 7, Maahad Tahfiz Bayt Az-Zakiah, Pertubuhan Anak Yatim dan Asnaf Zakat Baitul Mubaroqah, Yayasan Amanah An Nur Maisarah, Rumah Anak Yatim Budi Mulia Nurul Huda, Pusat Jagaan Anak- Anak Yatim Nurul Iman dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Ar-Ridwani.

Sumbangan diserahkan Eksekutif Khidmat Pelanggan Affin Bank, Rohana Mohd Nor dan Ketua Biro NSTP Perak, Jalal Ali Mohd Abdul Rahim pada majlis penyerahan yang diadakan di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin 7.

Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin 7, Mohd Nurullah Abu Bakar berkata, sumbangan zakat itu banyak membantu aktiviti pengurusan sekolah berkenaan.

“Kami berterima kasih kepada Harian Metro dan Affin Islamic Bank kerana memilih madrasah kami sebagai penerima dan wang ini digunakan sebaik mungkin untuk pengurusan madrasah ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Nurul Iman, Nurazilah Ahmad Mazlan berkata, ini kali pertama mereka menerima sumbangan daripada Harian Metro dan berharap lebih banyak pihak tampil memberikan bantuan sama.

“Bantuan ini dapat mengurangkan kos perbelanjaan kami, sekali gus menunjukkan masih ramai golongan luar prihatin termasuk dari industri surat khabar.

“Kami kurang menerima sumbangan dan keprihatinan Harian Metro dan Affin Islamic Bank ini amat dihargai dan saya mengucapkan terima kasih,” katanya.

Terdahulu, pada Ramadan lalu, Harian Metro sempena program itu turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, tepung gandum, gula, Milo, bihun dan kordial.

Selain Affin Islamic Bank, turut menaja program itu tahun ini adalah Pos Laju, Watsons, Nabati Group, OISHI, Kimball, Central Sugar Refinery (CSR), Massimo by The Italian Baker dan QNet International.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 11:14am
d