mutakhir

Rezeki tidak disangka

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: “Kehadiran Harian Metro dan syarikat korporat seperti Affin Islamic Bank Berhad yang menyumbang ibarat rezeki yang tidak disangka,” kata Pengetua Madrasah Tahfiz Nurul Yakin, Alias Harun.

Madrasah Tahfiz Nurul Yakin di FELDA Sungai Sayong, Kulai di sini, antara penerima sumbangan zakat perniagaan Affin Islamic Bank Berhad berjumlah RM3,500 menerusi program #HMKotakRezeki2018.

Alias berkata, hasil sumbangan daripada pelbagai pihak, pelajar kini dapat mengikuti pengajian dan menjalani aktiviti harian dengan lebih selesa.

“Madrasah yang beroperasi sejak 2014 kini menempatkan 11 penghuni lelaki berusia lapan hingga 14 tahun yang berasal dari negeri ini, selain empat tenaga kerja termasuk guru.

“Sumbangan ini akan digunakan bagi memasang jubin dan menambah baik kemudahan di pusat yang berkeluasan 3.72 x 8.36 meter persegi, sekali gus memberi keselesaan kepada pelajar menunaikan solat, mempelajari agama serta al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan disampaikan Eksekutif Khidmat Pelanggan dan Deposit Affin Bank Berhad Kulai, Mohd Hafiz Salleh Huddin.

Hadir sama, Ketua Biro The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Johor, Junita Mat Rasid.

Sementara itu, Pengasas Tahfidz Al Mukhlisin, Muhammad Faudzi Jalil berkata, sumbangan itu secara tidak langsung memudahkan pengurusan seharian pusat berkenaan termasuk kos operasi, utiliti dan gaji tenaga pengajar.

Katanya, kerjasama daripada semua pihak sama ada individu atau syarikat korporat dalam menjayakan inisiatif seumpama itu dapat meringankan beban di samping membantu kebajikan penghuni.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 11:24am
d