mutakhir

Didakwa sembunyi keterangan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

BURUH didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas, hari ini atas tuduhan menyembunyikan keterangan berhubung kejadian pegawai kastam dirempuh hingga maut pada Oktober 2016.

Tertuduh, Mohamad Harkam Mustafa, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Yusof Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyembunyikan keterangan mengenai kejadian pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Anisah Ali yang disyaki sengaja dilanggar sehingga menyebabkan kematian, dengan niat melindungi ‘Pok Ngoh Roni’ daripada hukuman.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Banggol Chicha di Pasir Mas. pada jam 1.25 pagi, 7 Oktober 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainun Zafirah Abd Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 5 September depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Anisah yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan JKDM di Rantau Panjang maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama dua rakannya dirempuh tonto.

Anisah meninggal dunia selepas hampir seminggu koma akibat kecederaan dalaman dan komplikasi usus.

Ketika kejadian, Anisah dan rakannya cuba menahan kenderaan yang dipercayai membawa rokok seludup sebelum pacuan empat roda mereka dirempuh kenderaan lain dipercayai tonto.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 4:26pm
d