mutakhir

Pakai kopiah tak semestinya lelaki...

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop dan Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

SELEPAS melakukan berpuluh kes menyamar pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, dalangnya iaitu seorang tomboi akhirnya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata suspek berusia 46 tahun ditahan dalam serbuan di rumah di Air Kuning, Taiping, pada 2 petang 3 Ogos lalu.

Beliau berkata, ketika serbuan suspek duduk di atas motosikal Modenas Kriss dan pemeriksaan pada beg pinggang dipakainya menemukan 18 keping kad ATM pelbagai bank, enam keping mata wang asing dan dua anak kunci.

Katanya, pemeriksaan lanjut dalam rumah itu menemukan beberapa songkok dan kopiah dipercayai digunakan untuk memperdaya mangsa kononnya suspek adalah seorang lelaki manakala nombor pendaftaran motosikal berkenaan didapati palsu.

“Siasatan polis mendapati suspek adalah wanita berperwatakan lelaki atau tomboi dan berpakaian seperti seorang lelaki bagi mengaburi mata mangsa.

“Suspek turut menyamar sebagai pegawai JKM atau Baitulmal, kemudian meminta mangsa membuka semua barang kemas dan menukar pakaian yang menampakkan mangsa layak menerima bantuan.

“Ketika mangsa menukar pakaian, suspek melarikan diri bersama barang kemas dan wang tunai milik mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di Bagan Serai, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, dalam kejadian terbaru pada 27 Jun lalu, seorang wanita warga emas kerugian RM12,000 selepas terpedaya dengan suspek yang datang ke rumahnya di Simpang Empat, Semanggol.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, suspek meminta mangsa menanggalkan barang kemas dan menyimpannya bersama buku bank dan telefon di dalam beg mangsa sebelum meminta mangsa masuk ke bilik untuk memakai kain batik bagi sesi mengambil gambar.

“Ketika mangsa menukar pakaian, suspek melarikan barang kemas bernilai RM10,000 dan wang tunai RM200 milik mangsa.

“Siasatan mendapati suspek urut melakukan jenayah itu di beberapa daerah seperti Kuala Kangsar dan Perak Tengah serta dua negeri berjiran iaitu Pulau Pinang dan Kedah.

“Di daerah Kerian sahaja suspek terbabit dalam 61 kes dilaporkan mangsa membabitkan kerugian RM165,000,” katanya.

Beliau berkata, suspek turut mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan kes curi di Lunas, Kedah dan Kepala Batas, Pulau Pinang.

Katanya, pihaknya setakat ini membuka 15 kertas siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam rumah dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 7:26pm
d