mutakhir

Dua beradik suspek kes tetak dicari

Oleh Attirmidzie Rahman

POLIS memburu dua beradik bagi membantu siasatan penemuan mayat lelaki dengan kesan tetakan di Kampung Baru Alor Pasir, Bukit Tuku, di Pasir Mas, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Ismail Jusoh berkata, suspek dikenali Mohd Farizzuan Ismail, 23, dan abangnya, Effendy Ismail, 35, beralamat Kampung Teluk Sawa, Tok Uban.

Katanya, mereka dipercayai menghilangkan diri sejurus kereta dinaiki terbabit kemalangan.

“Tindakan memburu dua lelaki ini dilakukan selepas siasatan mendapati mangsa terbabit dalam pergaduhan sebelum berlakunya kemalangan itu.

“Mangsa dikatakan ditetak menggunakan senjata tajam di lokasi pergaduhan di Jalan Batu Karang,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihaknya percaya dua beradik itu masih berada di daerah berkenaan.

“Kita minta dua beradik ini tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi membantu siasatan selain memohon kerjasama dari orang ramai yang mengetahui keberadaan mereka untuk menghubungi balai berhampiran,” katanya.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan, polis menerima maklumat awam mengenai penemuan mayat lelaki dengan kesan tetakan di kepala dan muka selain beberapa anggota badan lain.

Mayat ditemui di belakang sebuah rumah di Kampung Baru Alor Pasir.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 7:38pm
d