mutakhir

MARA kekal satu entiti

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan kekal sebagai satu entiti dan tidak akan diubah malah, penubuhannya juga masih tertakluk kepada Akta Parlimen 1966, kata Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof.

Menurutnya, isu MARA akan dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet esok atau selewat-lewatnya selepas sambutan Aidiladha nanti.

"Buat masa ini, MARA masih di peringkat perbincangan. Jangan kata saya hendak (MARA di bawah kementerian saya) pula. Jangan kata kami (kementerian saya) mengambil pemilikan (MARA)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Perundingan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana di Kementerian Pembangunan Usahawan di Putrajaya, hari ini.

MARA ditubuhkan pada 1 Mac 1966 mengikut Akta Parlimen sebagai badan berkanun hasil resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa mendakwa MARA akan dipecahkan dan dibahagikan kepada beberapa kementerian membabitkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamad Azmin Ali memaklumkan, agensi itu akan kekal tanpa dipecahkan manakala perbelanjaan pengurusan agensi itu kini diambil alih oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau memaklumkan juga objektif MARA untuk membantu rakyat terutama Bumiputera tetap dipertahankan.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 8:49pm
d