mutakhir

'Awas pembocor maklumat'

Oleh Teoh Pei Ying

KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim memberi amaran akan memecat pegawai polis yang didapati membocorkan identiti pemberi maklumat.

Mazlan berkata, keselamatan pemberi maklumat sentiasa dipandang serius oleh polis.

“Jangan memaksa pemberi maklumat mendedahkan identiti mereka.

“Jika pegawai polis itu mahu berjumpa dengan individu terbabit, silakan, tetapi menjadi tanggungjawab pegawai itu untuk merahsiakan identiti mereka.

“Jika pegawai polis itu didapati mendedahkan identiti pemberi maklumat, mereka akan dikenakan tindakan termasuk dipecat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Kembara Polis Kuala Lumpur di pusat beli-belah MyTown, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Mazlan berkata polis akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menangani isu perniagaan tidak berlesen dikendalikan pekerja asing di kawasan Pasar Borong Selayang.

Beliau juga bertemu dengan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali untuk membincangkan perkara berbangkit, minggu lalu.

“Sepanjang tinjauan saya ke pasar itu, saya dapati pekerja asing menjalankan perniagaan di kawasan parkir dan luar pekarangan pasar itu.

“Pengunjung yang melalui kawasan itu akan memilih untuk hanya membeli-belah di gerai warga asing itu tanpa berjalan ke dalam kawasan pasar itu.

“Ini akan memberi kesan negatif kepada operasi perniagaan warga tempatan di pasar terbabit,” katanya.

Menurutnya, polis hanya boleh memeriksa dokumen peniaga asing itu, namun sebarang tindakan lain berada di bawah bidang kuasa DBKL.

“(Oleh itu), saya akan bertemu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz) minggu depan bagi menangani isu itu," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 9:07pm
d