mutakhir

Ingatkah lagi 'baju bodo' Saloma?

Oleh BERNAMA

ANAK saudara kepada biduanita negara Allahyarham Puan Sri Saloma berhasrat untuk mempopularkan kembali busana bercirikan baju bodo yang sering digayakan biduanita negara itu, suatu ketika dahulu.

Siti Haslinda Abdul Hamid, 63, atau lebih dikenali sebagai Shasha berkata, bagi mempopularkan semula busana itu , beliau membuat rekaan berdasarkan ciri fesyen tersebut dengan sedikit pengubahsuaian supaya sesuai dengan generasi masa kini.

"Allahyarham Saloma (ibu saudara) menjadi inspirasi saya dan dia sangat meminati fesyen dan salah satu busana pilihannya adalah baju bodo yang juga pakaian tradisional Bugis.

“Baju bodo ini menggunakan kain yang jarang selain bahagian hujung kain perlu dipegang si pemakai dan saya perlu mengubahnya ikut kesesuaian fesyen masa kini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, hari ini.

Siti Haslinda ialah anak seniwati legenda Allahyarham Mariam Ismail yang lebih dikenali Mariani, iaitu kakak Saloma atau nama sebenarnya Salmah.

Shasha berkata, ketika ini, beliau perlu melalui beberapa peringkat pengubahsuaian supaya ia mudah dipakai dan kemas sebelum boleh memasarkannya di pasaran tempatan.

Muzium yang dibuka bermula hari ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui tentang sejarah perkembangan kawasan Sintok, UUM, sistem pengurusan Islam selain turut mempamerkan koleksi barang milik seniwati Mariani dan seniman Tan Sri Dr Jins Shamsudin.

Turut dipamerkan ialah Pedang Laksamana Cheng Ho, topi perang di zaman Khulafa Al-Rasyidin serta pedang sahabat setia Nabi Muhammad SAW iaitu Muaz Bin Jabal.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 9:17pm
d