mutakhir

Siasatan semula skandal 1MDB

Oleh Rohaniza Idris

DEWAN Rakyat hari ini, sebulat suara meluluskan usul supaya Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat semula penyelewengan dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta syarikat berkaitan dengannya.

Usul dibentang Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang turut disokong pembangkang itu, mencadangkan siasatan dibuat supaya maruah Dewan Rakyat dapat dipulihkan, manakala bahawa segala maklumat berkaitan harus didedahkan kepada umum.

Katanya, langkah itu diperlukan kerana skandal rasuah 1MDB gagal disiasat dengan cermat dan tiada tindakan diambil oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini bagi menyelesaikan perkara terbabit.

“Penyiasatan semula ini bertujuan mengembalikan maruah Dewan dan institusi negara yang sebelum ini gagal menjalankan penyiasatan yang adil, kompeten, berwibawa dan bebas daripada campur tangan orang-orang berkepentingan.

“Siasatan sebelum ini gagal mengenal pasti punca-punca sebenar skandal korupsi ini dan kerugian besar yang dialami oleh seluruh Malaysia dan khususnya, 1MDB,” katanya.

Usul dibahaskan lima Ahli Parlimen merangkumi Datuk Hasan Ariffin (BN-UMNO Rompin) yang juga bekas Pengerusi PAC; Tony Pua (PH-DAP Damansara) juga bekas Ahli Jawatankuasa PAC; Fahmi Fadzil (PH-PKR Lembah Pantai); Lim Kit Siang (PH-DAP Iskandar Puteri) dan Tan Sri Annuar Musa (BN-UMNO Ketereh).

Hasan mempertahankan kedudukannya ketika itu dan menafikan menyembunyikan fakta atau mengubah ayat dalam laporan PAC membabitkan 1MDB hingga menimbulkan keraguan terhadap pemilik sebenar syarikat Good Star Limited.

Syarikat terbabit didakwa menerima AS$1.03 bilion secara langsung daripada 1MDB.

Beliau turut menyatakan kesediaan dipanggil oleh Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat berhubung dakwaan Menteri Kewangan yang mengaitkannya cuba menyembunyikan maklumat dalam Laporan PAC.

“Saya akan mengarahkan maklumat berkaitan pemilik syarikat Good Star ditarik balik dalam laporan berkenaan kerana Bank Negara memberikan maklumat yang dikategorikan sebagai maklumat risikan dan tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Saya menerima maklumat mengenainya dari Bank Negara pada 6 April, sehari sebelum laporan PAC dicetak untuk didedahkan kepada umum.

“Saya ada memaklumkan kepada Ahli Jawatankuasa PAC melalui satu surat mengenai perkara itu (penarikan maklumat berkaitan pemilik Good Star Limited)," katanya.

Suasana menjadi tegang apabila Pua dalam perbahasannya mendakwa, Ahli Jawatankuasa PAC tidak dimaklumkan lebih awal berhubung penarikan maklumat mengenai pemilik syarikat terbabit.

“Penarikan balik maklumat dalam laporan PAC dibuat tanpa dimaklumkan kepada Ahli Jawatankuasa PAC.

“Kenapa kami tidak dimaklumkan melalui panggilan telefon, kenapa kami mengetahuinya selepas maklumat itu tidak dicetak dalam laporan berkenaan pada 7 April (2016)?

“Saya nak sebut di sini, Yang Berhormat Rompin cuba mengelirukan Dewan," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 9:48pm
d