mutakhir

Keluarga doktor calon PAS Seri Setia

Oleh Norzamira Che Noh

CALON PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali bersyukur enam anaknya mengikut jejak langkah beliau dan suaminya menceburi bidang perubatan.

Semua anaknya iaitu Dr Imran Ahmad, Dr Khadejah, Dr Zaid, Dr Hafiz, Dr Zubir dan Dr Liyana berusia 26 hingga 38 tahun.

Dr Halimah, 58, berkata sebelum menamatkan ijazah perubatan, dia dan suaminya, Dr Ahmad Supian sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

“Alhamdulillah, mereka semua lulusan perubatan. Saya dan suami tidak memaksa anak-anak mengikuti jejak langkah kami namun keputusan peperiksaan baik dan berkelayakan.

“Tambahan pula, saya mempunyai klinik sendiri dan mahu ada anak yang mewarisinya. Bagaimanapun, keputusan dan pilihan itu adalah hak mereka,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu, keenam-enam anaknya akan belajar aliran agama terlebih dulu dan dua daripada mereka adalah hafiz.

“Ada juga anak saya yang berminat melakukan aktiviti kemanusiaan sehingga ke Acheh dan Kampuchea.

“Namun, faktor usia yang masih muda menyebabkan mereka kini lebih fokus kepada kerjaya masing-masing,” katanya.

Dr Halimah dilahirkan di Marudi, Sarawak dan melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi (Elizabeth Matriculation College, Hobart) sebelum melanjutkan ijazah perubatan di University of Tasmania, Australia.

Beliau juga pelajar terbaik Diploma Tasawwur Islam di Institut Latihan Kepimpinan Dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM).

Beliau pernah bertugas di beberapa jabatan serta hospital termasuk Hospital Universiti, Petaling Jaya; Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ; Klinik Kesihatan Ibu & Kanak-Kanak Klang & Shah Alam; Pejabat Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang; Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Pegawai Kesihatan Sekolah Daerah Klang.

Beliau pernah menjadi pengamal perubatan swasta selama 25 tahun dan mempunyai dua klinik sendiri.

Sebelum ini, beliau adalah EXCO Kerajaan Negeri Selangor merangkap ADUN Selat Klang (2008-2014).

Malam tadi, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang mengumumkan Dr Halimah sebagai calon PRK DUN Seri Setia pada majlis di Desa Mentari, Petaling Jaya.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Balakong dan Seri Setia diadakan serentak pada 8 September, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 12:22am
d