mutakhir

Porsche terbakar, pemandu 'hilang'

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

KERETA Porsche terbakar 80 peratus selepas dipercayai terbabas dan merempuh tiang elektrik di Jalan Kota Bharu, Gopeng, malam tadi.

Bagaimanapun, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng tidak menemui mangsa cedera atau mayat di lokasi kejadian selepas pemadaman api selesai dilakukan.

Ketua Operasi BBP Gopeng, Norzamri Abd Wahab berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian 11.16 malam dan terus melakukan pemadaman kerana menyangka ada mangsa di dalam kereta mewah berkenaan.

Katanya, bagaimanapun selepas api dipadam pihaknya mendapati tiada mangsa dalam kenderaan itu.

"Pihak kami selesai melakukan operasi pemadaman pada 3.45 pagi tadi dan kita menyerahkan kes kebakaran Porsche itu kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi NSTP di sini pagi ini.

NSTP difahamkan ada saksi yang tiba di lokasi kejadian lebih awal, melihat seorang lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda yang kemudian memecut laju meninggalkan lokasi berkenaan.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 8:44am
d