mutakhir

'Pulau sampah' padat pelarian

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengaktifkan bantuan kemanusiaan ke Jaipur, India untuk membantu pelarian Rohingya di sana.

Penyelaras MAPIM Wilayah Persekutuan Fadhil Osman berkata, pihaknya mendapatkan butiran mengenai etnik Rohingya yang berhijrah ke Jaipur serta Jammu dan mendapati wujud keperluan mendesak membela nasib mereka.

Katanya, seperti juga di Bangladesh dan Arakan, mereka mengharapkan bantuan antarabangsa semata-mata selain ihsan penduduk tempatan bersimpati dengan apa yang berlaku di Myanmar selama ini.

“Kami dibawa ke penempatan mereka untuk melihat sendiri bagaimana keadaan di situ. Belum pernah ada mana-mana bantuan antarabangsa sampai di sana.

“Saya boleh katakan mereka tinggal di pulau sampah kerana begitu luasnya kawasan pelupusan ini dan yang terbesar di Jaipur. Bayangkan mereka tinggal di timbunan sampah di kawasan penduduk padat,” katanya.

Fadil berkata, sebelum ini MAPIM pernah berkolaborasi dengan pelarian di Jammu namun tidak menyangka Jaipur juga mempunyai komuniti pelarian yang menyelamatkan diri.

Menurutnya, sebagai langkah segera, pihaknya menyumbangkan 100 pek makanan asas kepada pelarian yang daif untuk meringankan beban ditanggung mereka.

“Kami berharap dengan bantuan ini, mereka meneruskan hidup seadanya. Kami mengalu-alukan sumbangan orang ramai kerana tempat ini lokasi terbaru pelarian Rohingya di sekitar Asia.

“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari Facebook MAPIM Wilayah Persekutuan,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 11:20am
d