mutakhir

[UPDATE] 'Cuaca panas sangat'

Oleh Faris Fuad

“INI pertama kali berlaku, mungkin kerana cuaca terlalu panas," kata ibu pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu, yang dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba ketika menjalani latihan, semalam.

Noraisyah Md Di, 50-an berkata, anaknya, Muhammad Asyraf Musa, 23, antara 16 mangsa daripada 61 pelatih yang kritikal dan dikejarkan ke zon merah.

"Saya dimaklumkan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang semalam bahawa anak kini dipindahkan ke zon hijau... syukur, Alhamdulillah.

"Anak pengsan kerana mungkin cuaca terlalu panas, sebelum ini tidak pernah berlaku. Latihan yang disertai adalah rutin biasa di Pulapol.

"Ketika ini, bapa saudara yang menjaga anak, saya menetap di Melaka dan mungkin akan melawat esok," katanya pada NSTP, hari ini.

Sementara itu, isteri seorang lagi pelatih, Nurul Izati, 26, berkata suaminya, Muhammad Hasre Suzain, 27, didapati mengalami sakit kepala dan kekurangan vitamin selepas insiden itu berlaku.

"Suami ditempatkan di zon kritikal di HTAR itu, namun dipindahkan selepas didapati berada dalam keadaan stabil.

"Dia ada mengadu sakit kepala mungkin kerana kurang vitamin, doktor akan terus pantau sebelum membenarkan suami keluar pulang ke rumah.

"Ketika ini, saya dimaklumkan suami antara dua mangsa berada di zon hijau, seorang lagi masih berada di zon kritikal HTAR Klang," katanya.

Semalam, sumber Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan berkata, kejadian berlaku apabila pelatih terbabit ditempatkan dalam bas di bawah terik matahari sebagai sebahagian daripada latihan kira-kira 1 tengah hari.

Berita berkaitan

61 pelatih PULAPOL diserang strok haba

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 12:24pm
d