mutakhir

Padah simpan rokok seludup [METROTV]

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

AKIBAT menyimpan 34,700 batang rokok seludup di premisnya, seorang peniaga makanan ringan dihukum penjara tiga hari dan denda RM29,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zaikimi Abdullah, 48, selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan barang-barang larangan iaitu 34,700 rokok putih dan kretek pelbagai jenama bernilai RM2,756.52 di gerai tepi jalan Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur pada jam 11.30 pagi, 13 Ogos lalu.

Barang-barang itu adalah dilarang import di bawah Jadual Ketiga, Bahagian II, Butiran I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama, jika sabit kesalahan boleh didenda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan R Alagendra, manakala tertuduh diwakili peguam P Suthes.

Terdahulu, Suthes dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada tertuduh atas alasan anak guamnya sudah insaf dan kesal atas perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Bagaimanapun, Alagendra memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 12:37pm
d