mutakhir

'Hutang tertunggak, katanya...'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SURI rumah di Langkawi kerugian RM30,000 selepas terpedaya dengan sindiket menyamar sebagai pegawai bank meminta wanita terbabit menjelaskan bayaran hutang yang tertunggak selama tiga bulan.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari kelmarin, mangsa berusia 55 tahun yang berada di rumahnya di Ulu Melaka, Langkawi, menerima satu panggilan daripada seorang wanita mendakwa pegawai bank di Kuala Lumpur.

Menurut sumber, dalam perbualan itu, pegawai bank terbabit mendakwa mangsa mempunyai hutang tertunggak selama tiga bulan sebanyak lebih RM3,000 dan perlu menjelaskan jika tidak mahu diambil tindakan.

“Malah, mangsa juga diberi amaran tidak memberitahu perbualan mereka itu kepada sesiapa kononnya kerana ia adalah rahsia kerajaan sebelum mengarahnya ke bank untuk membuat pemindahan wang jika tidak mahu dikenakan tindakan.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menurut arahan suspek yang meminta wang RM30,000 jika ingin kes tunggakan itu diselesaikan,” katanya.

Sumber berkata, bagaimanapun selepas memindahkan wang ke dalam akaun diberikan, mangsa gagal menghubungi semula suspek dan mengesyaki dirinya ditipu.

Dia kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kuah untuk tindakan selanjutnya selepas menyedari ditipu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Chan Teck Paing mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 4:57pm
d