mutakhir

'Mana ada pedang samurai'

Oleh Hasbi Sidek

“MEMANG kami berempat kejar, tapi kami tak pukul dia. Malah kami tidak bawa apa-apa senjata tajam atau kayu," kata Muhammad Azri Mohd Arip, 22, pemilik gerai burger yang dirempuh sebuah bas Rapid KL di Jalan Enggang, berhampiran Flat PKNS, AU2, Taman Keramat, di Ampang, malam semalam.

Dia berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap selepas pulang dari tempat kerja sebelum mendengar dentuman kuat yang boleh didengari hampir semua penghuni flet berkenaan.

"Saya bergegas keluar dan mendapati sebuah kereta Proton Iswara tersadai di tepi gerai burger akibat dirempuh sebuah bas. Keadaan meja bertaburan, manakala ibu saya yang sedang memegang anak saudara berusia dua bulan tersepit di antara gerai dan pembahagi jalan.

“Proton Iswara berkenaan dilanggar ketika membelok masuk flet ini. Pemandu kereta itu yang juga penduduk flet berlari mengejar bas berkenaan sebelum sempat masuk ke dalam bas ketika kenderaan itu berhenti kerana pemandunya menghalau empat penumpang supaya turun," katanya ketika ditemui di kediamannya yang hanya terletak kira-kira 10 meter dari gerai burgernya.

Muhammad Azri berkata, ketika dia mengejar bas berkenaan, dia tidak berselipar dan tidak memakai baju serta tidak memakai topi keledar.

“Kami empat orang mengejar bas itu menggunakan dua motosikal. Perasaan marah kerana pemandu meninggalkan lokasi kejadian, sedangkan hal ini boleh diselesaikan di lokasi sahaja.

“Kami tidak membawa apa-apa senjata tajam atau kayu. Malah, pemandu Proton Iswara yang berada di dalam bas beberapa kali memintanya supaya berhenti dan terus ke balai polis, namun pemandu bas enggan berbuat demikian.

“Ketika kami mengejarnya, dia sempat mengeluarkan tangan melalui tingkap dan menunjukkan isyarat mencabar kami supaya terus mengejarnya.

“Sebaik tiba di lokasi di mana dia merempuh beberapa kenderaan, saya dan tiga lagi rakan meninggalkan motosikal di belakang bas itu sebelum berlari mengejarnya dan sebaik tiba, dia sudah dipukul beberapa orang awam.

“Kami tidak sempat berbuat apa-apa kepada lelaki itu dan dakwaan sesetengah netizen mengatakan kami membelasah lelaki itu hingga separuh mati dan mengejarnya menggunakan pedang samurai adalah tidak betul.

“Malah, hanya kami berempat yang mengejarnya, bukan 'sekampung' seperti didakwa. Memang ketika kejadian penduduk flet ramai keluar untuk melihat kejadian kerana bunyi dentumannya sangat kuat," katanya yang mengejar bas berkenaan kira-kira empat kilometer.

Dia berkata, apa yang diluahkan dan diceritakan kepada wartawan turut dimasukkan dalam laporan polis, jika dia menipu, polis boleh mengambil tindakan kerana ramai saksi di lokasi pemandu bas dibelasah.

Berita berkaitan

[UPDATE] Pemandu bas Rapid KL masih hidup lah>

Apa masalah pemandu bas ni? [METROTV]

[UPDATE] RapidKL sedia bayar ganti rugi

[UPDATE] Pemandu bas RapidKL panik dikejar?

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 5:22pm
d