mutakhir

'Tanganku hampir putus'

Oleh Hasbi Sidek

TANGAN kanan seorang pekerja lelaki warga Bangladesh, 34, hampir putus akibat tersepit pada mesin pemotong kotak di sebuah kilang di Taman Perindustrian Villaraya, Semenyih, jam 10 pagi tadi.

Bomba yang bergegas ke lokasi terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan tangan mangsa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.19 pagi.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dengan kekuatan seramai sembilan orang bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati seorang lelaki warga Bangladesh iaitu pekerja kilang berkenaan tersepit tangan kanannya pada pemotong kotak.

“Kami menggunakan alat 'spreader' dan pemotong sebelum tangan mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang parah pada tangan dibawa ke Klinik Kesihatan Semenyih menggunakan ambulans untuk dirawat.

“Kami juga memastikan keadaan selamat sebelum bertolak balik ke balai," katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 6:28pm
d