mutakhir

'Berani kau 'kerja' di rumah Allah'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PERBUATAN memalukan seorang wanita yang dirakam mencuri beg tangan jemaah wanita di Masjid An-Nur, di Pasir Gudang, jam 7.15 malam semalam, dikecam.

“Dalam rumah Allah, berani melakukan perkara yang mungkar,” demikian luah seorang pengguna Facebook (FB) atas nama Abg Azroy selepas kecewa dengan perbuatan wanita itu mencuri beg tangan ibunya ketika menunaikan solat.

Terdahulu, dia berkongsi dua rakaman video berdurasi pendek untuk ditonton netizen.

“Dia dah curi beg mak aku Kat dalam Masjid An-Nur Pusat Bandar tadi. Tolong kasi viral. Bagi dia femes (popular) sikit.

“Info dari pak imam masjid tu, ni kali kedua kes curi. Dan individu yang sama jugak,” katanya berkongsi video yang dirakam menerusi kamera litar tertutup di masjid berkenaan.

Pemilik akaun FB itu, Mohamad Fazroy Anuar, 27, berkata kejadian berlaku ketika ibunya, Salmah Anik, 57, sedang mengambil wuduk.

“Mak saya tinggalkan sekejap beg di belakang tempat menyimpan telekung untuk mengambil air sembahyang.

“Bila balik semula ke tempat itu, beg sudah hilang,” katanya selepas solat ibunya segera bertemu ahli jawatankuasa masjid untuk melihat rakaman CCTV.

Berikutan itu, katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pasir Gudang, malam semalam.

Ia berikutan kehilangan kad pengenalan, kad bank, buku bank dan wang tunai bernilai ribuan ringgit.

“Harap dia pulangkan balik apa yang patut dan saya kalau boleh nak minta ganti rugi.

“Masa banyak habis untuk buat kad pengenalan, aduan polis dan kad bank semua. Urusan banyak jadi tergendala,” katanya yang bekerja pembantu penghantaran.

Berdasarkan pemerhatian terhadap video pertama berdurasi 13 saat, wanita itu dilihat memegang dua beg di tangannya sebelum mengambil seutas beg tangan.

Dengan kedudukan melihat pergerakan jemaah, dia yang memakai seluar biru terus bangun dan menuju ke arah pintu luar masjid berkenaan.

Video kedua berdurasi 27 saat pula memperlihat wanita yang memakai cermin mata dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan masjid ketika azan berkumandang.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 7:50pm
d