mutakhir

Penamaan calon PRK Balakong, Seri Setia hari ini [METROTV]

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

PROSES penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia dan Balakong dijadual bermula pada 9 pagi ini.

Tempoh masa bagi mengemukakan kertas penamaan calon dijadual selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kedua-dua PRK terbabit akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding.

Pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Bagi DUN Balakong pula, pusat penamaan calon berlangsung di Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Langat dengan Datuk Rosli Othman bertindak sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

PAS diwakili Dr Halimah Ali dan PKR yang mempertaruhkan bekas Ahli MBPJ, Halimey Abu Bakar sebagai calon wakil Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di PRK Seri Setia.

PRK Balakong pula bakal menyaksikan pertembungan antara calon PH dari DAP, Wong siew Ki dan MCA, Tan Chee Teong yang pertama kali menggunakan logonya sendiri.

Kerusi DUN Balakong kosong apabila penyandangnya, Eddie Ng meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

Kerusi DUN Seri Setia pula diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat barah usus pada 2 Ogos lalu.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 8:36am
d