mutakhir

'Aidiladha tak bermakna tanpa Mirsya'

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

‘AIDILADHA yang bakal disambut Rabu ini tiada makna buat kami sekeluarga selagi anak saya yang hilang sejak empat bulan lalu belum ditemui.

"Ini hari raya kedua kami berduka dan tidak menyambutnya seperti sebelum ini kerana dalam fikiran kami hanya mahu Mirsya Safiyyah dikembalikan dengan selamat".

Itu luahan Muhammad Samuddin Mat Salleh, 50, iaitu bapa kepada Mirsya Safiyyah, 16, yang dilaporkan hilang sejak 26 April lalu dipercayai dilarikan lelaki dikenali.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, mereka tidak membuat sebarang persediaan menjelang Aidiladha kerana keutamaannya mencari anak sulungnya sahaja.

"Macam mana kami nak menyambut Aidiladha dengan keadaan serabut memikirkan Mirsya Safiyyah yang sehingga kini tidak tahu keadaan sama ada sihat atau tidak.

"Pelbagai perkara dalam fikiran saya dan saya merayu serta berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Polis Thailand bagi mengesan anak saya yang kini dipercayai berada di negara jiran itu," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Samuddin berkata, orang ramai boleh membuat sebarang spekulasi mengatakan anaknya lari mengikut lelaki, namun sebagai bapa yang membesarkan anaknya, dia tidak mahu memikirkan persepsi negatif itu sebaliknya hanya mahu anaknya kembali dengan selamat.

"Anak saya masih di bawah umur dan Disember ini genap 16 tahun usianya. Jika dia mengikut lelaki berkenaan sekali pun, dia tetap dikira culik kerana masih di bawah umur dan lelaki berkenaan juga dalam pengawasan polis kerana terdapat rekod jenayah.

"Anda semua tidak berada dalam situasi saya, jadi anda boleh membuat pelbagai andaian. Ketahuilah sejak kejadian ini berlaku, kehidupan kami berubah seratus peratus kerana terlalu memikirkan keselamatan anak tersayang," katanya.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan anaknya dan dia percaya keluarga lelaki berkenaan akan menyembunyikan anaknya sehingga genap 16 tahun bagi membolehkan mereka berkahwin di Thailand.

Harian Metro sebelum ini melaporkan ibu bapa Mirsya buntu memikirkan nasib anak sulung mereka yang hilang dipercayai dilarikan ke Thailand oleh lelaki berusia 19 tahun sejak April lalu, sehingga kini gagal dikesan.

Lebih menyedihkan, hasrat Mirsya Safiyyah yang sepatutnya memasuki Kolej Vokasional di Tangok, Bachok dalam bidang jahitan pada 27 April lalu juga tidak kesampaian apabila dia dilarikan lelaki dikenali sehari sebelum tarikh pendaftaran.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan turut mengeluarkan kenyataan siasatan berhubung kes itu masih diteruskan.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 10:37am
d