mutakhir

Ini rumah ke 'tongkang pecah'? [METROTV]

Oleh Fazrik Kamarudin

TINGGAL di dalam rumah dipenuhi longgokan pakaian dan barangan lusuh, itu nasib lima beradik anak kepada pasangan dipercayai penagih dadah yang ditemui dalam serbuan di unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, ketika serbuan yang dijalankan menerusi Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) Siri 46 itu, seorang daripada mereka tidak dapat dikesan difahamkan keluar bersama kawannya.

Empat lagi adiknya masing-masing berusia 7, 9, 11 dan 14 tahun kemudian diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Ibu lima beradik itu, yang hanya dikenali sebagai Khai, 45, berkata, dia tidak berdaya untuk menguruskan rumahnya akibat kebergantungan dirinya kepada dadah jenis heroin.

"Saya sedang cuba melawan ketagihan saya, saya tidak bertenaga untuk menguruskan rumah, di dalam rumah itu bukannya sampah tetapi barang dan pakaian lusuh yang ingin dijual menampung perbelanjaan rumah.

"Suami saya bekerja sebagai pemandu peribadi dan sering kerja luar dan jarang berada di rumah," katanya ketika ditemui.

Dalam Op Bah yang dijalankan awal pagi itu, beberapa lagi lokasi selain PPR Beringin diserbu.

Ketua Penyelaras Ops BAH Siri 46, Azman Mahmood berkata, operasi kali ini dijalankan di beberapa hotel bajet sekitar Chow Kit dan dua pusat hiburan terkenal di ibu kota.

"Di PPR, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyaring 26 individu, 23 daripadanya didapati positif pelbagai jenis dadah sementara di hotel bajet, 28 disaring dengan 26 daripadanya positif.

"Di pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, kita saring 11 individu dan seorang didapati positif dadah jenis syabu dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan notis kaunseling kepada 20 lelaki.

"Sementara itu di pusat hiburan kedua di Jalan P.Ramlee pula dikesan tidak mempamerkan nama dan nombor syarikat selain menjual minuman keras tanpa lesen, kita sita 50 botol minuman keras, 30 botol dan 100 tin bir dan tiga lelaki ditahan kerana positif dadah jenis ganja dan syabu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Azman, JAWI turut menahan tiga wanita dan sembilan lelaki mengikut Seksyen 43, Akta 559 kerana minum arak selain mengeluarkan notis kaunseling kepada 49 individu.

Ops BAH Siri 46 yang bermula 10 malam hingga 4.30 pagi itu dijayakan 545 anggota daripada pelbagai agensi termasuk pertubuhan bukan kerajaan.

Fokus utama Ops BAH adalah penguatkuasaan terhadap pusat siber perjudian haram, pusat urut tanpa lesen, dadah, warga asing, penyalahgunaan permit dan aktiviti maksiat.

Menggunakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Ops BAH disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bertindak sebagai peneraju utama usaha itu.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 12:27pm
d