mutakhir

'Tolonglah peka dengan kemudahan OKU'

Oleh Mohd Nazllie Zainul

“SAYA bukan mahu cari salah sesiapa, tetapi seharusnya apa yang saya lalui jadi iktibar dan diambil perhatian oleh pihak berwajib agar tidak mengabaikan kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU)."

Demikian luah Francis Xavier Kinjin, 33, lelaki OKU yang gambarnya terpaksa bersusah-payah menaiki tangga berikutan tiada kemudahan laluan OKU di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), tular di laman sosial.

Gambar terbabit dimuat naik Francis hari ini ketika hendak mengeluarkan wang di bank, dekat Penampang.

Francis berkata, gambar yang dimuatnaik itu bertujuan supaya semua pemilik premis, terutamanya yang sering menjadi tumpuan awam termasuk bank, lebih peka dengan kemudahan OKU.

"Bank terbabit mempunyai laluan OKU tetapi ia tidak bersambung dengan mesin ATM.

"Sebaliknya hanya terdapat tangga sahaja untuk ke ATM dan sudah pasti ia menyukarkan OKU seperti saya.

"Ruangan mesin ATM boleh diakses menerusi pintu yang dihubungkan dengan ruang utama bank sepanjang waktu bekerja. Bagaimanapun, ia akan menjadi masalah selepas habis waktu pejabat berikutan dua bahagian ini akan dipisahkan dengan pintu automatik dan pelanggan terpaksa hanya menggunakan pintu utama kawasan ATM bertangga.

"Saya enggan terlalu bergantung dengan orang sekeliling apabila setiap kali hendak mengeluarkan wang," katanya ketika dihubungi.

Francis berkata, dia berharap luahannya bukan sahaja diambil kira premis bank tetapi semua bangunan utama kerajaan serta perniagaan.

Menurutnya, kemudahan OKU ini hendaklah diberi keutamaan di semua tempat disebabkan golongan mereka amat memerlukannya untuk menjalankan aktiviti harian.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 3:43pm
d