mutakhir

Apa masalah korang belasah pondan?

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PONDAN cedera di kepala akibat dibelasah sekumpulan lelaki di Taman AST, Jalan Sungai Ujong, Seremban, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian 12.10 tengah malam itu berlaku apabila mangsa berusia 32 tahun didatangi sekumpulan lelaki bermotosikal.

Katanya, kumpulan lelaki berkenaan dipercayai memukul mangsa menggunakan kayu dan paip sebelum melarikan diri meninggalkan mangsa yang cedera.

"Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 9 malam Rabu, dengan ditemani seorang ahli keluarganya," katanya.

Sulizmie Affendy berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 37 tahun yang disyaki seorang daripada kumpulan yang menyerang mangsa, di perkarangan IPD Seremban, kelmarin.

"Suspek direman lima hari hingga Selasa ini mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

"Mangsa yang cedera di kepala serta badan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ)," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 3:59pm
d