mutakhir

Wanita hilang selepas buang sampah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

WANITA dikhuatiri hilang apabila tidak pulang ke rumah di Kampung Sungai Mahang, Nilai selepas keluar membuang sampah di kawasan hutan berhampiran rumahnya, dua hari lalu.

Difahamkan, kehilangan wanita berusia 44 tahun terbabit disedari oleh ahli keluarganya, sebelum mereka bersama penduduk kampung cuba mencari mangsa di kawasan hutan berkenaan, namun gagal.

Berikutan itu, ahli keluarga wanita itu membuat laporan kehilangan di Balai Polis Nilai dan mendapatkan bantuan bomba bagi membolehkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, N Krisna berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian, 2.57 petang hari tadi.

Katanya, berdasarkan maklumat, mangsa masuk ke kawasan hutan yang terletak di belakang rumahnya untuk membuang sampah pada petang Khamis lalu dan tidak pulang ke rumah sehingga hari ini.

"Tujuh anggota terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa di sekitar kawasan yang menjadi lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Operasi turut mendapat bantuan anggota polis dan penduduk kampung. Setakat jam 6 petang ini, mangsa masih belum ditemui dan kemungkinan operasi akan diteruskan sehingga 8 malam," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 9:28pm
d