mutakhir

3 nelayan bot karam selamat

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lumut menyelamatkan tiga nelayan selepas bot dinaiki karam di perairan Pulau Agas, kira-kira tujuh batu nautika dari selatan Pulau Pangkor, hari ini.

Bot yang dinaiki Sai Fa, 60; Lim Ah Koh, 60; dan Chen Ah Kow, 64, karam selepas dipukul ombak besar, kira-kira 9 pagi tadi

Difahamkan, ketiga-tiga nelayan terbabit terjun ke laut sebaik menyedari bot hampir karam dan berenang ke pulau berhampiran untuk menyelamatkan diri sebelum meminta bantuan kecemasan.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah, berkata Bot Petir 80 bersama kru dari Kilat 11 digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 9.15 pagi.

“Bot tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 10 pagi dan ketiga-tiga mangsa terbabit berjaya diselamatkan pada 11.30 pagi.

“Mangsa dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan dan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Lumut, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian pihaknya mendapati ketiga-tiga mangsa tidak memakai jaket keselamatan.

“Kami sentiasa mengingatkan nelayan supaya tidak mengabaikan jaket keselamatan bagi mengelakkan sesuatu bencana menjadi lebih buruk,” katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 11:08pm
d