mutakhir

Kekal nama asal

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sepasang pengantin mualaf yang baru melangsungkan perkahwinan di Surau Balai Islam di Taman Kesidang, Melaka, kelmarin membuktikan memeluk Islam tidak bermakna mereka perlu meninggalkan adat kaum asal mereka.

Malah, Tan Poh Wah, 37, dan isteri Lee Sing Ju, 36, masih menggunakan nama asal dalam MyKad dan Kad Akuan Memeluk Islam sejak Allah mengurniakan hidayah kepada mereka memeluk agama suci ini.

Walaupun ketika melafazkan akad dan sesi khutbah nikah diperdengarkan kadi dalam bahasa Melayu namun Tan mengambil inisiatif menerangkan pengisiannya kepada Lee dalam bahasa Mandarin.

Tan yang bekerja sebagai pengayuh beca di Bandaraya Bersejarah itu tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran dan berharap pernikahan mereka juga adalah sebagai dakwah menepis stigma segelintir masyarakat negara ini yang menganggap memeluk Islam bermakna masuk Melayu.

“Islam adalah milik semua manusia di dunia ini tanpa batasan kaum atau darjat. Selagi saya tidak melanggar prinsip sebagai penganut agama Islam, saya boleh menjalani kehidupan dan lakukan apa saja seperti mana amalan masyarakat kaum Cina termasuk adat bersanding dan minum teh,” katanya yang secara rasmi memeluk Islam pada 1 Februari 2016.

Beliau yang dihubungi Metro Ahad Tan berkata, isterinya yang memeluk Islam pada 22 Mei 2017 itu dikenalinya ketika dia masih bekerja dalam bidang pembinaan.

“Empat tahun lalu ada projek di Seremban, Negeri Sembilan. Saya memandu jengkaut untuk projek pembinaan bangunan dan tapak itu bertentangan dengan rumah Lee.

“Saya terpandangnya dan minat untuk mengenalinya dengan lebih rapat. Saya meluahkan hasrat untuk mengahwininya selain memberitahu saya akan memeluk Islam.

“Alhamdulillah dia setuju untuk berkahwin dengan saya dan turut diberikan hidayah untuk memeluk Islam. Kemudian kami juga ke kelas mendalami Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sehinggalah hari ini kami sah bergelar suami isteri,” katanya yang merancang berbulan madu di Langkawi.

Sambil tertawa, katanya, dia sah menjadi suami selepas tiga kali akad disebabkan tergelak apabila rakan mengusiknya ketika majlis pernikahan.

Terserlah kebahagiaan di wajah Tan yang memakai sut lengkap kelabu manakala Lee anggun mengenakan gaun putih ketika majlis bersanding.

Sebelum itu, pasangan berkenaan dinikahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Mohd Shokri Mustaffa dengan mas kahwin RM100 tunai.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 4:02am
d