mutakhir

'Tunggulah tahun depan...'

Oleh Faliq Lajim

PENCAPAIAN Kerajaan Selangor bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) penggal baharu akan dapat dilihat dan dinilai seawal tahun hadapan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ia berikutan beliau baru sahaja mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor, untuk menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, dua bulan lalu.

“Mengukur pentadbiran 100 hari Kerajaan Selangor agak sukar. Banyak yang perlu saya rangka terlebih dahulu. Namun, ia dapat dilihat dalam tempoh enam hingga ke tujuh bulan nanti.

“Paling tidak, perkara yang paling besar saya sudah buat selepas diberi mandat untuk mengetuai pentadbiran Kerajaan Selangor adalah menyelesaikan penstrukturan semula industri air. Itu kita buat dengan segera dan sudah selesai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di selepas Majlis Malam Amal dan Sambutan ulang tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS), Klang ke-125 di Jalan Plumbum, Seksyen 7, Shah Alam, malam tadi.

Amirudin berkata, selain itu, Kerajaan Selangor turut membenarkan pasukan The Red Giants kembali beraksi di Stadium Shah Alam sebagai gelanggang sendiri.

“Stadium Shah Alam juga saya sudah serahkan kepada pasukan The Red Giants. Saya harap ia dapat dipenuhkan sebagaimana permohonan dan permintaan penyokong sendiri.

“Walaupun prestasi pasukan tidak begitu baik, namun, saya percaya mereka dalam proses ke arah kecemerlangan pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, banyak perkara perlu dirangka dalam memastikan pentadbiran kerajaan Selangor berjalan lancar dan ia akan diumumkan ketika pembentangan belanjawan negeri pada akhir bulan November ini.

“Buat masa sekarang saya tidak mahu mengubah banyak dasar Kerajaan Selangor. Kami akan teruskan seperti biasa sebagaimana saya umumkan ketika mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar sebelum ini.

“Inisiatif peduli rakyat pula tetap diteruskan sampai sekarang namun kami akan buat penyelarasan semula berdasarkan peruntukan kerajaan Persekutuan dan negeri. Kena tunggu bajet terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kerajaan Selangor akan terus memastikan kelancaran pentadbiran di bawah pimpinan PH.

“Kejayaan selama 10 tahun terdahulu seperti program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Perumahan Mampu Milik Rumah Selangorku, Kesihatan Bersepadu Peduli Sihat dan lain-lain lagi membuktikan kecekapan pentadbiran PH di Selangor.

“Kejayaan ini turut dibuktikan lagi apabila ada negeri yang lain menjadikan pentadbiran kerajaan Selangor di bawah PH sebagai contoh.

“Malah, bukan itu sahaja. Terdapat sebahagian Manifesto PH juga mencontohi Selangor, seperti Program Peduli Sihat, Bas SMART Selangor dan juga Rumah Selangorku," katanya ketika dihubungi.

Sze Han berkata, kerajaan Selangor akan sentiasa berusaha untuk menambah baik dasar sedia ada dan menaik taraf apa yang perlu untuk rakyat di Selangor.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 9:08am
d