mutakhir

'Bukan ular terpanjang...'

Oleh Safuri Kamarudin

ULAR sawa seberat 100 kilogram (kg) yang ditangkap di Kampung Kaki Bukit, Batu Tujuh, di Baling, semalam hanya berukuran tujuh meter (m) selepas diukur semula pagi ini.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada mulanya memaklumkan ular itu sepanjang 10 m.

Pegawai APM Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pada pandangan mata kasar memang nampak panjang, namun selepas diukur pagi ini mendapati tidaklah sampai 10 m seperti dimaklumkan semalam.

Sementara itu, seorang guru, Iszaiezham Ismail, 33, tidak melepaskan peluang membawa keluarganya melihat reptilia itu yang disimpan sementara di APM Baling.

Menurutnya, orang ramai berpusu-pusu melihat ular itu yang dianggap paling besar dan panjang.

“Pada mata kasar saya memang ular itu panjang dan ini kali pertama melihatnya yang lebih besar daripada yang ditangkap sebelum ini,” katanya.

Pegawai Daerah Baling, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman pula menyarankan ular sawa itu disimpan sementara di APM.

Beliau akan berbincang dengan pihak yang berkenaan supaya menyediakan sebuah zoo untuk menyimpan reptilia yang ditangkap.

“Saya cadang sedia sebuah zoo di kawasan Air Panas Ulu Legong," katanya.

Semalam NSTP melaporkan seekor ular sawa seberat 100 kg sepanjang 10 m atau 32.8 kaki yang berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mungkin yang terpanjang di dunia.

Ular sawa berkenaan ditemui oleh seorang penduduk kampung di tepi jalan Kampung Kaki Bukit, ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya jam 3 pagi.

Menurut akhbar The Guardian, Guinness World Records mencatatkan ular sawa batik di Missouri, Amerika Syarikat yang dinamakan Medusa sebagai ular terpanjang di dunia dengan ukuran 7.67 m pada 2011 dan sehingga kini, rekod itu, masih kekal.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 11:17am
d