mutakhir

'Penjenayah pun lagi bijak...' [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PENJENAYAH yang menyasarkan kenderaan mewah

menggunakan peralatan berteknologi tinggi bagi mencuri kenderaan jenis itu.

Ia dikesan selepas Polis Johor menumpaskan satu sindiket yang dipercayai sudah lebih setahun aktif dalam kegiatan berkenaan, pada 7 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan mendapati sindiket ini menyasarkan kenderaan mewah yang diletakkan di parkir awam dan kawasan perumahan.

Beliau berkata, mereka menggunakan gajet canggih itu untuk memadamkan alat penggera, sebelum menghidupkan enjin kenderaan.

Katanya, peralatan itu yang dibeli secara dalam talian juga memudahkan penjenayah melarikan kenderaan dengan pantas.

“Sindiket ini juga mempunyai kepakaran membuat kunci pendua selain mencetak cukai jalan palsu untuk diletakkan pada kenderaan yang dicuri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seri Alam di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim.

Sementara itu, mengulas kejayaan menumpaskan sindiket itu, Mohd Kamarudin berkata, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun dalam tiga serbuan berasingan di tiga lokasi sekitar Johor Bahru Selatan dan Seri Alam.

Beliau berkata, polis juga merampas 12 kenderaan mewah yang dilaporkan hilang bukan sahaja di Johor, malah di Selangor dan Kedah.

"Kita juga turut merampas sebahagian daripada pelbagai alat yang dipercayai digunakan sindiket ini bagi tujuan mencuri kenderaan berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati kenderaan yang dicuri ini adalah untuk dijual di pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata, dengan penahanan suspek, pihaknya percaya dapat menyelesaikan 22 kes curi kenderaan mewah di negeri ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan memalsukan dokumen serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan barangan curi,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 11:50am
d