mutakhir

'Kami mahu pampasan'

Oleh Recqueal Raimi

PENDUDUK di beberapa kampung sepanjang Jalan Kauluan, di Tuaran, berharap menerima pampasan yang setimpal selepas ternakan unggas mereka dilupuskan bagi membendung penularan wabak selesema burung atau virus Avian Influenza (H5N1).

Tinjauan NSTP mendapati, kebanyakan penduduk di sekitar radius lima kilometer dari kawasan wabak di Kampung Kauluan, iaitu Kampung Tambulaong, Dang Sangai, Bukit Giling dan Telibong sudah menyerahkan ternakan mereka kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk dilupuskan.

Penduduk Kampung Tambulaong, Ester Juanis, 40, berkata, dia sebelum ini memelihara lebih 30 ayam dan burung di rumahnya sebelum diserahkan kepada anggota JPV selepas diminta melupuskan ternakan berkenaan berikutan wabak selesema burung.

“Sebelum ini, burung pelbagai jenis itulah yang menjadi teman sekeluarga untuk bermain kerana sangat jinak manakala ayam kampung pula kerap menjadi sumber makanan kami sekeluarga terutama dijadikan sup setiap kali ada yang mengidam atau sakit.

“Namun, kami akur dengan arahan pihak berkuasa apabila diminta melupuskan haiwan berkenaan kerana ia satu-satunya cara untuk mencegah wabak itu. Kesihatan dan keselamatan kami sekeluarga serta penduduk kampung lebih penting,” katanya.

Katanya, mereka mengharapkan pampasan yang setimpal kerana ternakan yang dilupuskan itu sangat bernilai kepada mereka selain menganggap penularan wabak berkenaan bukan berpunca daripada ternakan milik penduduk.

Dia berkata, penduduk juga memberi kerjasama terhadap langkah yang diambil JPV menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan yang keluar masuk ke Kampung Kauluan sebagai usaha pencegahan bagi mengelak wabak berkenaan merebak.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Junz Wong, sebelum ini menjelaskan semua data berkaitan ternakan dan penduduk terjejas akan dikumpul sebagai panduan untuk pembayaran pampasan.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati pemeriksaan terhadap kenderaan yang keluar masuk ke kampung berkenaan sudah dihentikan.

Sebelum ini setiap kenderaan yang keluar dari kawasan wabak di Kampung Kauluan perlu disembur dengan cecair pembasmi kuman.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Kauluan, Wainah Damai, 45, yang bekerja sebagai tukang masak di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Tambulaong berkata, suasana di Kampung Kauluan dan sekitarnya kini sunyi selepas semua ternakan unggas di kawasan terbabit dilupuskan.

“Jika sebelum ini bangun pagi saja keadaan kampung riuh dengan bunyi kokokan ayam namun sekarang sudah tiada lagi kedengaran, seolah-olah berada pada zaman 'koboi' pula,” katanya.

Dia berkata, walaupun wabak berkenaan semakin reda selepas ternakan unggas khususnya ayam termasuk yang dimiliki penduduk kampung, mereka masih berhati-hati khususnya dalam memilih makanan terutama ayam.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 12:32pm
d