mutakhir

'Buaya tarik ke dalam sungai...'

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

LELAKI parah selepas diserang seekor buaya ketika memancing udang di sungai dekat Kampung Kurnia, Batu 3 di Kuantan, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, Hamid Mohd Ismail, 42, yang berasal dari Pulau Pinang dan tinggal di rumah kedai, Kuala Pahang, Pekan, cedera di kepala dan badan.

Sumber berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai ditarik buaya ke dalam sungai.

“Mangsa berjaya melepaskan diri daripada cengkaman reptilia itu dan kemudian meminta bantuan orang awam untuk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi dapatkan rawatan,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Ahmad Azhar Mohammed ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, mangsa masih tidak sedarkan diri akibat kecederaan dialaminya.

“Mangsa dilapor selamat menjalani pembedahan, hari ini dan sudah dipindahkan ke wad biasa.

“Kita akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu selepas mangsa sedar,” katanya.

Ahmad Azhar berkata, pihaknya menjalankan pemantauan dan rondaan di lokasi kejadian bagi mengesan kedudukan buaya yang menyerang mangsa.

“Kita akan menguruskan kebajikan mangsa dan melancarkan tabung bantuan serangan binatang buas memandangkan, mangsa tidak mempunyai waris di Pahang.

“Adik mangsa di Pulau Pinang juga sudah dimaklumkan kejadian itu,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 3:44pm
d