mutakhir

PH Perak tak ok hanya persepsi

Oleh Muhammad Apendy Issahak

DAKWAAN bahawa Pakatan Harapan (PH) Perak sedang `berantakan’ yang dibangkitkan pihak tertentu tidak berasas dan hanya bersifat menimbulkan persepsi tidak sihat dalam kalangan rakyat dan penyokong kerajaan.

Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, permasalahan dalam kalangan parti politik yang bergabung adalah perkara normal, namun di Perak ia tidak seperti digambarkan pihak tertentu.

“PH di Perak kini komited untuk terus bekerja bagi melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

“Bagi saya apa jua (berantakan) yang dimaksudkan oleh mana-mana pihak adalah sebagai satu andaian yang mahu menjatuhkan kredibiliti kepimpinan PH Perak terutama Menteri Besarnya, Ahmad Faizal Azumu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri serba maklum soal amanah serta tanggungjawab yang diberikan rakyat dan pastinya keseluruhan kepimpinan mahu bekerja sebaiknya dalam usaha untuk melaksanakan janji-janji pilihan raya yang dibuat.

“Saya memperingatkan kepada mana-mana pihak yang cuba untuk menjejaskan kerajaan sedia ada ini supaya berfikir dua kali kerana rakyat bukan lagi mereka yang tidak bijak dalam mentafsir sesuatu perkara.

“Semoga dengan segala bentuk tuduhan ini akan memberikan lagi kekuatan dan semangat berpasukan kepada PH Perak supaya terus bekerja dan menjalankan tanggungjawab sedia ada dengan memastikan rakyat menjadi tunjang utama dalam pemerintahan,” katanya.

Beliau turut menegaskan PKR Perak menyokong kepimpinan negeri di bawah pentadbiran Ahmad Faizal.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Kerajaan Negeri Perak kini di ambang krisis politik apabila terdapat desas-desus mengatakan wakil DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) akan membuat undi tidak percaya kepada Faizal Azumu.

Antara punca krisis dikatakan Ahmad Faizal menolak desakan DAP supaya penduduk Kampung Baru diberi pajakan tanah selama 999 tahun.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 9:43pm
d