mutakhir

Ribut di Arafah [METROTV]

Oleh Sofea Chok Suat Ling

KEJADIAN ribut pasir yang jarang berlaku ketika musim panas di Arafah, membadai penempatan jemaah haji yang bersiap sedia untuk berwukuf di Padang Arafah lewat petang semalam.

Angin kencang itu merosakkan khemah jemaah hingga menyebabkan bekalan elektrik terganggu di seluruh kawasan perkhemahan jemaah.

Ia bermula ketika matahari mulai terbenam pada 6.30 petang dalam keadaan jemaah haji tiada persediaan serta tidak menyangka kawasan itu akan dibadai ribut.

Bagaimanapun, ribut yang melanda tidak menggugat semangat jemaah haji untuk melakukan wukuf apabila menganggap hujan yang dialami sebagai satu rahmat dan ujian dalam menunaikan ibadat haji.

Ketua rombongan jemaah Tabung Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, semua jemaah Malaysia berada dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, pihak berkuasa Arab Saudi terpaksa memotong sementara bekalan elektrik ke kawasan perkhemahan ketika ribut melanda antara 6.30 petang hingga 8.30 malam demi memastikan keselamatan jemaah haji.

"Sebahagian khemah yang rosak akibat bencana itu sedang dibaiki oleh pihak berkuasa.

"Bekalan elektrik ke kawasan perkhemahan dipulihkan secara berperingkat mulai 10.45 malam," katanya.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia mula tiba secara berperingkat untuk berwukuf di Arafah mulai pagi semalam, bagi menyertai kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia berhimpun di sini yang menjadi rukun dalam ibadat haji.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 8:56am
d