mutakhir

Pakej lengkap Dr Halimah

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

Kota Bharu: Pemilihan Dr Halimah Ali sebagai calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia sangat tepat kerana beliau berpengalaman luas.

Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kelebihan yang ada pada Dr Halimah tidak dapat dipertikaikan lagi, sekali gus membolehkan beliau dicalonkan.

“Saya melihat secara perbandingan di antara kedua-dua calon yang ditampilkan PAS dan Pakatan Harapan (PH) ini, ternyata calon PAS jauh lebih layak dipilih sebagai ADUN Seri Setia dalam pilihanraya kecil ini.

“Baik dari sudut pengalaman, pendidikan, kerjaya dan rekod, Dr Halimah tidak boleh dipertikaikan kelayakannya untuk berkhidmat jika dibandingkan dengan calon PH,” katanya kepada NSTP, semalam.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kehadiran Dr Halimah akan menjadi check and balance dalam pertandingan itu.

“Tidak ada pilihan terbaik untuk pengundi Seri Setia kecuali memberikan sokongan kepada calon PAS,” katanya.

PAS menamakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali sebagai calon parti itu bagi PRK DUN Seri Setia pada 8 September ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, Dr Halimah yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang dipilih kerana beliau pemimpin berpengaruh di Selangor.

PRK DUN Seri Setia yang juga PRK kedua diadakan selepas PRU ke-14 (PRU14) berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.

Pada PRU-14, Shaharuddin daripada PKR mengalahkan tiga pencabarnya, Datuk Yusoff HM Hanif daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas, Dr S Vignes dengan majoriti 19,372 undi.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 11:30am
d