mutakhir

Nasir, Krishnan tiba sejam awal

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Keadaan cuaca yang baik semalam, membolehkan dua pelari Larian Merdeka, Nasir Abas, 63, dan rakannya, Krishnan Andy, 61, tiba di destinasi dirancang lebih awal.

Anaknya, Mohd Ridzuan Nasir, 30, yang mengiringi bapanya berkata, mereka kini berada di Sungai Petani selepas meneruskan larian dari Gurun bermula jam 8.30 pagi semalam.

Katanya, bapanya melepasi sasaran dua kilometer (km) lebih awal daripada perancangan.

“Kalau ikutkan, mereka dijangka sampai jam 1.30 tengah hari hingga 2 petang, tapi kami sampai di Bakar Arang, Sungai Petani pada jam 12.30 tengah hari untuk berehat dan menunaikan solat Zohor.

“Setakat ini abah dan pak cik Krishnan dah melakukan larian 20 km dan akan sambung berlari ke Kepala Batas, Pulau Pinang petang ini (semalam),” katanya.

“Kami dijangka berhenti di Kepala Batas petang ini (semalam) dan akan menyambung larian esok pagi (hari ini) menuju ke Jawi, Pulau Pinang seperti dirancang.

“Abah dan pak cik Krishnan nampak lebih bersemangat apabila orang ramai yang nampak kehadiran mereka di sepanjang jalan meminta mengambil gambar kenangan tanda sokongan,” katanya.

Kedua-dua pesara tentera itu berhasrat melakukan larian merdeka kali kedua bersama tahun ini sejauh 550km dari Dataran Bandaraya Alor Setar menuju ke Putrajaya selama 12 hari.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 12:18pm
d