mutakhir

'Duniaku gelap tahu anak merogol'

Oleh Mohd Rafi Mamat

“SAYA tidak menyangka dia sanggup merogol dan memalukan keluarga serta menggelapkan masa depannya sendiri, namun saya bersyukur kerana ia memberi pengajaran buatnya dan kini bertaubat selepas dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa," kata bapa yang mahu dikenali Ali yang anaknya dihukum melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam berikutan kesalahan merogol.

Bapa kepada 10 cahaya mata itu berkata, dia merasakan dunianya gelap seketika sebaik diberitahu anaknya, Amin (bukan nama sebenar), 20, didapati bersalah merogol gadis bawah umur pada 2013.

"Harapan dan impian melihat dia sebagai anak lelaki mencipta kejayaan membanggakan dalam bidang akademik seolah berkecai sekelip mata, saya tidak percaya dia sanggup buat kesalahan itu.

"Mungkin pergaulan bebas dengan rakan sebaya ketika bersekolah di Temerloh mendorongnya melakukannya, sebagai bapa saya reda dengan ketentuan ini dan menerima apa jua hukuman.

"Dia dikenakan hukuman melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam, syukur sudah ada perubahan selepas menjalani hukuman itu selama 100 jam dan dia kini menjalani kehidupan seperti remaja lain dengan bekerja di bengkel kenderaan di Kuala Lumpur," katanya yang berasal dari Lanchang.

Ali berkata demikian ketika ditemui pada Program Keibubapaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) `Ku Taut Kasih Yang Terlerai' anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Alor Akar, Kuantan, hari ini.

Program satu hari dikendalikan Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat JKM Pahang disertai 50 remaja menjalani hukuman PKM bersama ibu dan bapa masing-masing yang mengikuti ceramah motivasi.

Sementara itu, Pengarah JKM Pahang, Zulkhari Zainol Abidin berkata, pihaknya menganjurkan program sedemikian pada setiap tahun bagi mendedahkan mereka kepada pelbagai aspek dan memberi kesedaran supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

"Kita ingin meningkatkan kesedaran, kemahiran dan gaya didikan ibu bapa terhadap anak mereka terutama yang terbabit dengan pelbagai kesalahan.

"Kelemahan yang ada perlu diperbaiki demi kebaikan bersama terutama dalam memastikan anak masing-masing terkawal dan tidak melakukan kesalahan pada masa depan," katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 1:20pm
d