mutakhir

'Lanun naik bot, acu senjata api'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

“SEBAIK mengetahui bapa saudara disamun sekumpulan lelaki Thailand, saya dan rakan lain terus ke laut untuk menyelamatkannya, namun gagal apabila dia berjaya dibawa ke negara jiran.”

Itu kata Khalid Ali, 30, anak saudara kepada Malik Mat, 52, salah seorang empat nelayan yang dibawa lari lapan lelaki selepas menyamun mereka di tengah laut berdekatan Pulau Langgun, di Langkawi, semalam.

Khalid berkata, sebelum kejadian, bapa saudaranya ke laut untuk menangkap ikan sekitar jam 7 pagi bersama rakan, namun tidak lama kemudian dia mengetahui mengenai kes samun itu.

Menurutnya, tanpa berlengah dia bersama rakan lain terus menaiki bot ke laut cuba menyelamatkan bapa saudaranya, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana sudah masuk ke perairan Thailand.

“Kumpulan lanun terbabit menyamun bot dinaiki bapa saudara yang ketika itu mematikan enjin bot mereka selama 20 minit selepas menangkap ikan.

“Saya diberitahu rakan nelayan yang lain lanun terbabit kemudian terus masuk ke dalam bot itu dan mengacu senjata,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, nelayan lain yang menyedari kejadian itu cuba menghampiri, namun diacu senjata api sebelum mereka terus menghubungi pihak berkuasa meminta bantuan.

“Setakat ini, saya dimaklumkan bapa saudara masih berada di Satun, Thailand dan belum menerima apa-apa maklumat lanjut.

“Kami juga tidak dihubungi sesiapa meminta wang tebusan setakat ini cuma saya berharap dia selamat pulang,” katanya.

Khalid berkata, tujuh nelayan yang selamat itu pula adalah dari Kuala Perlis selepas Pasukan Polis Marin (PPM) dengan nelayan lain berjaya memintas bot itu dan menahan empat lelaki warga Thailand.

Bagaimanapun, isteri Malik, Aminah Mohd, 42, belum bersedia untuk ditemubual kerana trauma dengan kejadian menimpa suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, empat nelayan terbabit akan dibawa pulang ke Langkawi dari Balai Polis Satun, jam 3 petang.

NSTP hari ini melaporkan empat nelayan tempatan yang dibawa lari lapan lelaki selepas menyamun mereka di tengah laut berdekatan Pulau Langgun, di Langkawi, semalam, dilaporkan selamat dan berada di Balai Polis Satun, Thailand.

Berita berkaitan:

'Alhamdulillah, mereka selamat'

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 4:16pm
d