mutakhir

China sedia tambah import dari Malaysia

Oleh Saidon Idris di Beijing

CHINA bersedia meningkatkan lagi jumlah import barangan dari Malaysia, kata Perdana Menterinya, Li Keqiang.

Beliau berkata, ini termasuk minyak sawit dan barangan pertanian lain bagi memenuhi permintaan rakyat China yang berjumlah 1.4 bilion.

“China komited untuk melihat perdagangan dua hala yang lebih seimbang dengan Malaysia.

“Bagi tujuan itu, kami sudah bersedia menambah import barang dari Malaysia bagi memenuhi permintaan rakyat kami, terutama minyak sawit dan hasil pertanian lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama dengan Tun Dr Mahathir selepas mesyuarat delegasi di The Great Hall of the People, Beijing hari ini.

Perdana Menteri kini sedang dalam lawatan lima hari ke negara kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Turut serta dalam delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darell Leiking; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Menteri di Jabatan Perdana Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof; dan pegawai kanan Kerajaan

Li berkata, dalam mesyuaratnya dengan Dr Mahathir, mereka bersetuju mengembangkan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang ekonomi baharu terutama yang berkaitan teknologi.

“Lawatan Dr Mahathir dan persetujuan bersama yang dicapai menunjukkan kepada dunia hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara,” katanya.

Mengulas mengenai ‘perang perdagangan’ antara China dan Amerika Syarikat (AS), Li berkata, beliau telah berulang kali menegaskan bahawa tiada siapa yang akan menang.

Beliau berkata, ia hanya akan menjejaskan ekonomi kedua-dua negara dan perdagangan dunia.

“Semua negara di dunia adalah saling bergantung, justeru jika berlaku pergeseran perdagangan ia akan memberi kesan kepada perdagangan dunia,” katanya sambil memberikan analogi, jika sebatang sungai dicemari, ia bukan hanya akan mematikan ikan tetapi semua ekosistem.

Beliau berkata, China sentiasa percaya kepada perdagangan dunia yang bebas.

Mengulas isu sama, Dr Mahathir berkata, Malaysia sentiasa menyokong kepada kebebasan perdagangan, tetapi ia mestilah adil.

“Setiap negara ada tahap kemajuannya, justeru yang miskin perlu diberikan peluang untuk turut sama meraih manfaat daripada perdagangan dunia,” katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 7:26pm
d