mutakhir

Jaga kesatuan iman, perpaduan ummah [METROTV]

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

JEMAAH haji Malaysia diseru mengambil pengiktibaran daripada ibadat haji yang mereka tunaikan dengan menjaga kesatuan iman, memelihara perpaduan ummah dan melihat setiap rakyat Malaysia daripada kaca mata kemanusiaan, bukannya kebencian.

Itu antara intipati khutbah Arafah yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa di khemah Maktab 81 ketika sama-sama berwukuf di Arafah, hari ini.

Beliau berharap, apabila pulang ke tanah air kelak, semua 30,200 jemaah haji Malaysia dapat kembali membina semula negara berasaskan kepada ketakwaan dan keimanan.

“Lebih utama, peribadi yang lahir dari dalam diri jemaah haji ini diharap akan melihat sesama rakyat Malaysia dengan mata kemanusiaan dan bukan dengan kekejian atau kebencian apatah lagi dengan perspektif perkauman yang sempit,” katanya.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memastikan kesempurnaan Islam itu dipelihara dengan sebaik mungkin sehingga ke akhir hayat dan sentiasa berusaha ke arah meningkatkan takwa kepada Allah.

"Menjadi tanggungjawab kita juga memelihara segala perintah Allah dalam kesatuan iman, ibadat, pergaulan dan juga jual beli. Semuanya hendaklah berlandaskan syariat Islam yang syumul," katanya.

Mujahid turut mengimbas beberapa kandungan penting khutbah yang dibacakan Rasulullah SAW ketika Baginda berwukuf di Arafah pada Jumaat 9 Zulhijjah tahun ke 10 Hijrah dan dikenali juga sebagai khutbah al-wada' di hadapan kira-kira 144,000 orang.

"Pada hakikatnya, inilah satu permukiman kita dalam satu suasana perkhemahan tarbawiah, ruhiyah dan Ilahiah rabbaniah dalam menyempurnakan ibadat teragung warisan Nabi Ibrahim AS dan jujungan mulia Nabi Muhammad SAW.

"Jangan disia-siakan kesempatan dan peluang keemasan terbaik ini kerana inilah waktu kemuncak ibadah dalam diari kehidupan seorang muslim," katanya.

Beliau sebelum itu turut melawat ke beberapa khemah jemaah haji Malaysia termasuk yang mengalami sedikit kerosakan akibat kejadian ribut pada Ahad malam.

"Walaupun terpaksa bergelap selepas bekalan eletrik ditutup, Alhamdulillah semua jemaah kita tabah dan bersabar.

"Hari ini saya jumpa sebahagian mereka, tiada aduan apa-apa dri mereka. Itu bagi saya satu berita baik kepada semu ahli keluarga di Malaysia," katanya.

Ini kali pertama Mujahid yang dilantik menteri Kabinet pada Julai lalu menyampaikan khutbah kepada jemaah haji Malaysia ketika wukuf di Arafah atas jawatannya sebagai menteri yang bertanggungjawab hal ehwal agama Islam.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia tiba berperingkat-peringkat di Arafah dari Maktab penginapan mereka di Makkah sejak pagi Ahad dengan kumpulan terakhir tiba kira-kira jam 10 malam.

Wukuf adalah rukun terpenting dalam perjalanan ibadat haji dan setiap jemaah diwajibkan berada sekurang-kurangnya seketika di Arafah pada waktu ditetapkan iaitu dari waktu Zohor 9 Zulhijjah (20 Ogos) sehingga Subuh keesokan hari.

1. Mujahid bermesra dengan jemaah haji Malaysia yang wukuf du Arafah.

2. Mujahid membaca khutbah Arafah di surau Maktab 81.

3. Antara jemaah yang sebak ketika doa Arafah dibaca sejurus selesai khutbah.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 7:41pm
d