mutakhir

IPD JBS kerjasama dengan Watson's beri kesedaran kepentingan CCTV

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BUAT pertama kali, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) melaksanakan program ‘Safecam Partnership’ dalam usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan kamera litar tertutup (CCTV) di premis perniagaan bagi membantu polis menjalankan siasatan serta mencegah jenayah.

Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, program itu dilaksanakan sebagai tanda kerjasama yang diberikan masyarakat kepada pihaknya dalam usaha menangani jenayah di daerah itu.

Katanya, ini adalah program perintis IPD JBS yang mana kerjasama pertama ini dibuat bersama syarikat kecantikan dan penjagaan diri, Watson’s Personal Care Stores Sdn Bhd (Watson’s).

“Program ini adalah satu inisiatif polis untuk menjalin kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak swasta dalam aktiviti pencegahan jenayah.

“Menerusi program ini, syarikat swasta yang mempunyai CCTV di premis mereka boleh menjadi anggota ‘Safecam PDRM.’

“Mereka hanya perlu mendaftarkan CCTV masing-masing dengan polis untuk membolehkan kami mengaksesnya untuk menjalankan siasatan dan pemeriksaan rakaman sekiranya berlaku kejadian jenayah di premis itu tanpa perlu menunggu kebenaran atau kehadiran pengurus syarikat.

“Selain itu, ia juga dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk berkongsi maklumat dengan polis berhubung kejadian jenayah sekali gus memudahkan siasatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Program ‘Safecam Partnership’ IPD JBS bersama Watson’s di Johor Bahru, hari ini.

Hadir menyaksikan kerjasama itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Johor, Senior Asisten Komisioner Yahaya Ramli; Timbalan Ketua Polis Daerah JBS, Superintendan Afzanizam Yahya serta Pengurus Operasi Jualan Wilayah Watson’s Johor, Gabie Nadia Ismail.

Shahurinain berkata, kerjasama Watson’s dengan polis amat dialu-alukan memandangkan statistik 2017 menunjukkan sebanyak 27 kes jenayah dilaporkan berlaku di premis perniagaan Watson’s sekitar JBS, manakala 14 kes direkodkan antara Januari hingga Ogos ini.

“Kita berharap syarikat swasta lain juga akan bersama-sama menandatangani MoU seperti ini bagi membantu polis mencegah jenayah,” katanya.

Sementara itu, Yahaya berkata, program ‘Safecam Partnership’ itu adalah inisiatif Polis Johor yang mana sebelum ini mendapat kerjasama syarikat stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam.

“Kita memuji IPD JBS kerana mengadakan kerjasama ini bersama Watson’s dan diharapkan IPD lain mengambil contoh, manakala pengurusan Watson’s menjalin kerjasama dengan IPD lain di negeri ini.

“Usaha ini sekali gus dapat membantu kita bukan sahaja mencegah berlakunya jenayah, tetapi mempercepatkan atau memudahkan siasatan polis sekiranya berlaku jenayah.

“Walaupun pemasangan CCTV membabitkan kos yang agak besar, usaha syarikat swasta mengambil langkah awal ini sangat bagus dan ia perlu diperluaskan ke seluruh negeri,” katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 11:14pm
d