mutakhir

Wujud Kelab Kaunseling Rakyat bantu B40

Oleh Syed Umar Aiff dan Mohd Iskandar Ibrahim

Petaling Jaya: Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar mahu mewujudkan Kelab Kaunseling Rakyat jika diberi mandat sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia sebagai sebahagian daripada perancangan untuk membantu golongan B40.

Halimey berkata, penubuhan kelab itu akan memberi tumpuan khusus untuk mengenal pasti masalah masyarakat membabitkan jiwa dan perasaan.

“Golongan B40 sentiasa diberi keutamaan sebagai penerima manfaat menerusi program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang disalurkan kerajaan Selangor di bawah pimpinan PH.

“Sebab itu saya merancang menubuhkan Kelab Kaunseling Rakyat di bawah IPR dalam usaha membantu rakyat khususnya dalam kalangan keluarga B40 tanpa mengira kaum dalam DUN Seri Setia.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PH Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia di sini, semalam.

Selain Kelab Kaunseling Rakyat, Halimey berkata, beliau mahu mengaktifkan semula Kelab Rukun Tetangga (KRT) dalam usaha meningkatkan keselamatan kediaman khususnya di projek perumahan rakyat termiskin (PPRT).

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 10:58am
d