mutakhir

Kaki raba mengaku salah [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

PENGANGGUR yang ditahan kerana melakukan cabul bersiri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini kerana mencabul remaja perempuan di Jalan Felcra Changkat Lada-Ulu Dedap, Seberang Perak, bulan lalu.

Tertuduh, Ridzuan Mohamad, 33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Dia didakwa meraba punggung mangsa berusia 16 tahun di Jalan FELCRA Changkat Lada-Ulu Dedap, Seberang Perak pada 20 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Sabit kesalahan dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan juga sebat dan hendaklah dikenakan perintah pengawasan polis minimum setahun dan maksimum tiga tahun sepertimana mengikut Seksyen 27 (1) akta sama.

Indera Nehru kemudiannya menetapkan 28 Ogos ini untuk menjatuhi hukuman dan tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi.

Sementara itu, tertuduh sama akan dibawa ke Mahkamah Majistret Parit hari ini untuk didakwa atas dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Semalam, NSTP melaporkan suspek ditahan pada 10.30 malam di rumahnya di Seberang Perak, di Kampung Gajah pada 12 Ogos lalu, selepas dipercayai mencabul kehormatan beberapa wanita berusia antara 18 hingga 42 tahun

Modus operandi suspek yang masih bujang itu ialah menaiki motosikal dan mencari wanita yang berjalan seorang diri sebelum mendekatinya mencabul mangsa.

Berita berkaitan

Kaki raba dicekup>

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 11:00am
d