mutakhir

Cari waris bagi urusan penempatan semula bayi

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Andai diberi pilihan, mungkin mereka pun tidak mahu lahir ke dunia ini.

Apakan tidak, sejak dilahirkan mereka membesar tanpa mengenali dan merasai kasih sayang insan yang melahirkan mereka.

Itu nasib malang menimpa seorang bayi berusia lapan bulan dan lima kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun yang menjadi mangsa dibuang ibu kandung sendiri.

Mereka kini ditempatkan dalam jagaan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum mahkamah memutuskan keputusan terbaik untuk kebajikan kanak-kanak itu.

JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam satu kenyataan semalam, meminta kerjasama waris tampil bagi membantu melancarkan urusan penempatan semula bayi dan kanak-kanak terbabit demi masa depan mereka.

Bagi kes pertama, JKM menerima kes seorang bayi berusia lapan bulan, Muhammad Amir Syah Aiman yang dirujuk penjaganya, Suhaimi Mohamed kepada jabatan itu berikutan tiada dokumen penjagaan sah.

“Berdasarkan keterangan lelaki itu, bayi terbabit diserahkan oleh ibu kandungnya dikenali sebagai Rostina di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 10 Disember tahun lalu dan hingga kini maklumat wanita berkenaan gagal dikesan.

“Kes kedua pula membabitkan Mohamad Habib Abdullah, 3, yang ditinggalkan ibunya, Yusma Irdawaty Mohd Said di Hospital Kuala Lumpur selepas melahirkannya pada 2015.

“JKM sudah cuba mengesan ibu kanak-kanak itu di alamat terakhir di Tingkat 8, Wisma Hock Ann, Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur namun gagal menemuinya,” katanya.

Menurut JKM, nasib sama turut menimpa kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, Lavakusha Rao yang diserahkan ibu kandung, Rajeswary A Somasundram kepada P Viganaswari pada Jun 2011 ketika dia berusia tiga tiga bulan.

“Alamat terakhir ibu kandung kanak-kanak adalah No 16 Hoover Park, Jalan Sultan Abdullah, Teluk Intan, Perak.

“Selain itu, Mohamad Ahsan Habib, 9, juga ditinggalkan ibunya warga Indonesia, Mariyamah kepada seorang lelaki warga Bangladesh, Nur Islam dan seorang wanita, Nasimah Bibi Mohamad Shariff.

“Kes selanjutnya membabitkan Soleha Abdullah, 9, yang ditinggalkan ibunya yang juga warga Indonesia, Erna di kedai makan di Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 25 Januari 2013 ketika kanak-kanak itu berusia lima tahun,” katanya.

Menurutnya, JKM turut menerima kes Norish Syakila, 12, yang ditinggalkan ibu kandung, Nik Nooridayu Yaacob kepada Rahmah Hashim di Kampung Pandan Dalam pada Oktober 2006 ketika kanak-kanak terbabit berumur empat bulan.

“Rahmah memberitahu, ibu kandung kanak-kanak itu hanya ingin meletakkan anaknya buat sementara waktu dengan alasan mahu pulang ke kampung di Kelantan.

“Bagaimanapun, ibu kandung kanak-kanak itu tidak datang mengambil anaknya dan usaha mencarinya dilakukan penjaga namun gagal,” katanya.

Berikutan itu, JKM mengalu-alukan waris atau individu yang mempunyai maklumat ibu kandung bayi dan kanak-kanak terbabit untuk menghubungi pegawai pelindung kes terbabit di talian 03-2612 4000.

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 11:16am
d