mutakhir

Mula tugas, bersara di pejabat sama [METROTV]

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

MELAPOR diri ketika mula bertugas pada 1977 dan bersara di pejabat sama kenangan paling manis dan bermakna sepanjang hampir 41 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Johor, Senior Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, beliau masih ingat selepas tamat latihan kepolisan selama enam bulan, pejabat yang didudukinya kini adalah tempat dirinya melapor diri sebagai Inspektor Percubaan.

Katanya, pengalaman seperti itu agak sukar ditempuhi anggota atau pegawai lain dan menganggap ia unik serta pencapaian bermakna untuk dirinya sebelum bersara dalam PDRM.

“Ketika berkhidmat dalam PDRM saya punya angan-angan dan cita-cita yang berjaya saya sempurnakan iaitu pertama berkhidmat di Bukit Aman sebagai Pegawai Bahagian Perundangan (D5) pada 2001, menjawat jawatan Ketua Polis Daerah sebanyak dua kali di Subang Jaya dan Ranau, Sabah serta berkhidmat di kampung sendiri di Klang, Selangor.

“Selama hampir 41 tahun dalam PDRM, apa yang ingin saya kongsi adalah pentingnya bekerja dalam satu pasukan bagi menjayakan objektif atau penugasan dengan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis serah terima tugas Ketua JPJKK antara beliau yang akan bersara pada 25 Ogos ini dengan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi), Asisten Komisioner Kamal Faizul Mohd Zain yang bakal memangku jawatan itu.

Majlis di Johor Bahru disaksikan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Dalam perkembangan lain, Mohd Kamarudin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yahaya yang berjaya menamatkan perkhidmatan dengan cemerlang selain khidmat bakti hampir 41 tahun.

“Tempoh 41 tahun adalah satu masa panjang dalam PDRM dan saya harap, dengan majlis seperti ini ia membalas sumbangan dicurahkan beliau kepada PDRM,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 7:14pm
d