mutakhir

Sahabat sehidup semati pergi menjelang Aidiladha

Oleh Rosli Ilham

“TAK sangka pesanan supaya saya menjaga abang dan adiknya dengan baik adalah petanda dia pergi selama-lamanya,” kata Wan Faridah Wan Muda, 47, ibu kepada Muhammad Hafiz Asran, 16, yang ditemui lemas hari ini.

Muhammad Hafiz bersama rakannya, Muhammad Arif Haikal Amran, 16, ditemui lemas selepas mandi di kawasan Air Terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, dekat Dungun.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama 15 rakan mereka datang ke kawasan perkelahan itu untuk mandi.

Kemudiannya, kedua-dua mangsa naik ke atas batu besar di kawasan itu dan Muhammad Hafiz dikatakan terjun terlebih dahulu ke dalam lubuk terbabit sebelum dilihat terkapai-kapai.

Muhammad Arif yang menyaksikan kejadian itu tanpa berlengah terjun untuk cuba membantu, namun dia juga menjadi mangsa di lubuk terbabit.

Rakan mangsa, kemudiannya meminta bantuan penduduk kampung yang kemudian bertindak melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

Wan Faridah yang tinggal di Padang Kemunting, Kuala Nerus berkata, Allahyarham yang juga anak kedua daripada tiga beradik meminta izinnya untuk berkelah di situ sejak tiga minggu lalu.

“Saya tidak izinkan dia pergi tetapi malam tadi dia sekali lagi merayu dan saya akur sambil menasihatinya berhati-hati dan tidak mandi di kawasan dalam.

“Dia yang terlalu gembira kemudian berpesan supaya saya menjaga abang dan adiknya dengan baik tetapi ketika itu cuma perasaan pelik yang timbul dan tak sangka pula ia satu petanda,” katanya.

Menurutnya, arwah anaknya itu juga bermati-matian tidak mahu mengikutinya untuk berpindah ke Lahad Datu, Sabah pada bulan depan.

“Suami saya baru bersara dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan akan membawa kami semua anak beranak berpindah ke Sabah selepas anak sulung kami selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Arwah berkeras hendak tinggal di Terengganu tak sangka rupanya dia hendak pergi menghadap Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan kejadian itu.

“Mangsa mandi di situ kira-kira jam 1 petang. Tidak lama kemudian, sebaik menerima laporan, polis bersama bomba dan penduduk kampung melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

“Mayat Muhammad Hafiz ditemui kira-kira 2 petang manakala rakannya pula ditemui setengah jam kemudian.

“Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 7:30pm
d