mutakhir

Kerajaan galak pelaburan China

Oleh Saidon Idris di Beijing

KERAJAAN terus menggalakkan kemasukan pelaburan dari China tetapi ia mestilah mengikut peraturan negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, dalam pertemuannya dengan peniaga China di Beijing, mereka dilihat masih berminat melabur lebih banyak di Malaysia.

Katanyq, kerajaan mengalu-alukan minat mereka tetapi ia perlulah memenuhi maksud sebenar pelaburan langsung asing (FDI).

“Bila kita datang ke China, kita akan ikut undang-undang mereka. Begitu juga jika mereka datang ke Malaysia, mereka mestilah ikut undang-undang kita,” katanya pada sidang media pada hari terakhir lawatannya ke China, hari ini.

Dr Mahathir berkata, sepanjang lawatan lima harinya ke sini, beliau juga berjaya meyakinkan ahli perniagaan China bahawa beliau masih mesra-China seperti ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

“Ketika saya menjadi Perdana Menteri dulu, saya dikenali sebagai mesra China. Saya fikir saya telah buktikan yang saya tidak berubah,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, banyak perkara yang boleh Malaysia pelajari daripada China berdasarkan kemajuan pesat negara itu dalam bidang pertanian, automotif dan dron.

Perdana Menteri berkata, dalam pertanian contohnya, penggunaan teknologi membolehkan China memenuhi keperluan makanan penduduk 1.4 bilion penduduknya.

Katanya, ini berbanding Malaysia yang walaupun memberikan subsidi besar kepada petani, tetapi hanya mampu memenuhi 70 peratus keperluan.

“Ini kita kena belajar kerana jika kita ikut cara China, kita tidak perlu lagi mengimport makanan,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 7:45pm
d